Wednesday, May 23, 2012

DOUGHNUT....donut

Petang ni saja2 je buat donut; dah ada anak mm 2-3 orang kat rumah, meriahlah sikit nak makan pun.
Mari kita jamu mata ya, kalau ada yang nak jamu selera kenalah masak & buat sendiri; nak cepat lagi...pergi beli kat warung tepi jalan. Petang2 atau pagi2 mesti terjual di mana-mana.....Kalau nak yang branded, pergi supermarket.....macam-macam jenama kedai fast-food dan bakery.

"tolonglah abaikan rupa ku ini,
maklum aje lah orang beranak kecik..." (mm ngasuh cucu)
 Donut coklat ni buat mm teringat-ingat masa tahun 1997-2006, setiap bulan Ramadhan mm akan berjualan donut coklat ni; atasnya letak chocolate-rice. Ramai pula peminat setianya, tiap-tiap hari datang membeli malahan ada yang siap menempah untuk petang esoknya. Selepas mm tidak lagi berniaga atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan, rupanya ramai pula peniaga-peniaga lain membuat dan menjualnya....tapi ada yang bagitahu, rasanya tak sama dengan donut mm. Semenjak dari itu, donut coklat dah jadi perkara biasa dah di pasaran!

Donut bergula ni tak berapa diminati anak2 mm sebab mereka tak suka makan makanan manis. Padahal mm buat bancuhan donut tu memang dohnya dah dikurangkan gula.

Yang ni doh donut juga, tapi buat berketul panjang, cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Biasanya orang buat yang dipanggil 'burger melayu'; goreng bulat tebal dan dibelah tengah letakkan sambal ikan bilis.

Ni mm nak bagi tip sikit tentang bancuhan doh donut ni. Sukalah mm nak peringatkan pada semua kawan2, mm selalunya gunakan 1 resepi je untuk donut goreng, donut bakar dan juga untuk pelbagai jenis roti serta pizza. Hasilnya memang menjadi...cuma belum pernah lagi mencuba resepi yang sama untuk kueh mengukus!

Selalunya mm guna yeast yang serbuk kering tu. Kalau nak bagi lagi lembut, tambahkan bread-improver dan dough-softener. Dan pada masa kini di kedai2 menjual bahan bakeri sudah banyak dijual tepung untuk buat roti yang siap diadun. Ini lagi menyenangkan..ikut saja arahan yang disertakan.

Kalau nak buat sendiri; macam ni....(my style!)  harap maaf kalau orang lain buat tak menjadi sebab mm guna sukatan agak2 dan ikut kesesuaian....
350gm tepung gandum biasa @ multi-purpose flour : nak guna superfine flour pun boleh
boleh dapat dalam 20-25 biji donut
11gm/1 peket ragi segera/ instant yeast macam MAURIPAN tu
2 sudu besar susu tepung @ susu krim -pilihan saja
3 sudu besar majerin @ mentega- boleh guna minyak masak
1 biji telur
1 sudu teh gula
garam secubit 
air suam; agak2 lembut doh
1 sudu besar bread-improver- jika diguna
1 sudu besar dough-softener - jika diguna 
1) Gaul semua bahan2 kering dalam mangkuk pengadun dengan spatula @ senduk kayu/ plastik hingga sebati..
2) Masukkan telur dan majerin/mentega/ minyak. Gaul lagi.
3) Masukkan air dengan kadar sedikit dulu, elok gunakan pengadun letrik (yang cangkuk tu!)
4) Adun sampai berkilat atau tidak melekat. Jika keras, tambah air tetapi jika lembek sangat tambah sikit tepung. Lembut sikit tak mengapa...
5) Biar adunan naik sebentar, dalam 30minit. Kemudian putar sekali lagi seperti mula2 tadi.
6) Biarkan selama 30 minit lagi dengan ditutup adunan guna kain/ tuala lembab; jika guna plastik pastikan air pemeluwapan tak terkena adunan.
7) Ambil adunan dan terap dengan acuan donut. Biarkan naik sekali ganda, baru goreng dalam minyak panas. Api jangan terlalu besar, takut2 hangit di luar tapi tak masak di bahagian dalamnya.
8) Lepas digoreng, angkat & tos minyak. Tunggu sejuk sedikit barulah hias dengan gula aising/ gula castor/ coklat cair.
9) Kalau nak buat donut sosej, pintal dengan sosej.... sebelum digoreng lumurkan bijan pada doh.
10) Begitu juga kalau nak membakar untuk buat buat roti bun, roti sosej, roti inti kelapa/sekaya; sapulah telur kuning sebelum masuk oven supaya nampak kekuningan & cantik atau sapu dengan mentega sebaik saja dikeluarkan dari oven untuk nampak berkilat.
11) Untuk buat kulit piza pun begitu juga, canai ke atas dulang/ acuan piza dan sapu sos tomato sebelum ditabur inti2nya. 
 Lepas tu bolehlah dimakan....
SELAMAT MENJAMU  mata? selera?
Tepuk dada tanya kerajinan....



1 comment:

  1. Wah! sedapnya donut coklat. Ada juga buat donut sekali-sekala. Lepas ni,insyaAllah,akan cuba resepi yang ini pula.

    ReplyDelete